ISU EJAAN DAN TATABAHASA
Ejaan
: Sistem ejaan bahasa Melayu ialah sistem yang pada umumnya berdasarkan kaedah fonemik, iaitu unit-unit bunyi yang berfungsi sahaja yang dilambangkan dengan huruf dan pada umumnya tidakada huruf-huruf yang senyap. Walau bagaimanapun, satu prinsip yang digunakan dalam pengejaan istilah-istilah pinjaman ialah pengekalan bentuk ejaan kata asing seboleh yang mungkin, terutama sekali perkataan-perkataan yang baharu sahaja diserapkan. Perkataan yang sudah lama masuk ke dalam bahasa Melayu dikekalkan ejaannya mengikut kelazimannya.
Prinsip pengekalan ejaan perkataan asing melibatkan kemunculan ciri-ciri bunyi dan juga bunyi-bunyi yang baharu dalam bahasa Melayu. Dalam buku Pedoman Umum Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (DBP, 1992) menggabungkan dua kumpulan utama kata pinjaman dari segi ejaannya, iaitu:
a. kata asing yang belum sepenuhnya terserap ke dalam bahasa Melayu,
b. kata asing yang pengucapan dan penulisannya sudah sepenuhnya terserap ke dalam bahasa Melayu.
Kata Asing yang Belum Sepenuhnya Terserap
: Ada beberapa kata asing yang belum sepenuhnya terserap ke dalam bahasa Melayu sama ada kerana ketiadaan padanannya yang sesuai ataupun kerana keinginan mengekalkan bentuk asal atas dasar sifat keantarabangsaan penggunaannya. Perkataan tersebut dieja dan disebut seperti kata asalnya. Contohnya:
landrover qadi
ad hoc qari
de facto hadith
in vitro protein
overdraf diesel
Kata Asing yang Sepenuhnya Terserap
: Kata asing yang sepenuhnya terserap dari segi sebutan dan ejaannya, umumnya dieja dengan mengutamakan bentuk visualnya. Perkataan sedemikian masuk ke dalam bahasa Melayu melalui penciptaan istilah. Penulisan kata serapan itu dibuat menurut kaedah-kaedah seperti pengekalan atau perubahan abjad.
a. abjad a tetap a
: race - ras
: abstract - abstrak
: plate - plat
b. abjad ae jika tidak bervariasi dengan e tetap ae.
: aerial - aerial
: aerograph - aerograf
: aerobe - aerob
c. abjad ae jika bervariasi dengan e menjadi e.
: aesthetics - estetika
: haemoglobin - hemoglobin
: haematite - hematit
d. abjad ai tetap ai
: aileron - aileron
: caisson - kaison
e. abjad au tetap au
: automatic - automatik
: automobil - automobil
: tautology - tautologi
f. abjad c di hadapan a, u, o, dan konsonan menjadi k
: carbon - karbon
: classic - klasik
: corpus - korpus
g. abjad cc di muka e dan i menjadi ks
: accent - aksen
: vaccin - vaksin
Sistem Keselarasan Huruf Vokal
: Terdapat dua sistem pengejaan baru bahasa Melayu iaitu Sistem Keselarasan Huruf Vokal yang digunakan untuk mengeja kata bahasa Melayu dan Sistem Kekecualian Keselarasan Huruf Vokal yang digunakan untuk pengejaan kata pinjaman.
Pola Keselarasan Huruf Vokal.
: Dalam Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu terdapat lapan belas (18) pola keselarasan huruf vokal.
Keselarasan huruf vokal ialah kesesuaian dua huruf vokal yang membentuk dua suku kata pada kata dasar iaitu pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dan pada suku kata akhir tertutup.
Keselarasan huruf vokal ini terbentuk berasaskan prinsip:
a. Keselarasan antara dua huruf vokal pada kata dasar yang tidak melibatkan pengimbuhan.
b. Kata dasar yang berakhiran dengan suku kata tertutup iaitu tidak melibatkan suku kata akhir terbuka.
c. Bagi kata yang lebih daripada dua suku kata , yang termasuk dalam sistem keselarasan huruf vokal ini hanyalah daripada dua suku kata yang terakhir sahaja.
18 Pola Keselarasan Huruf Vokal yang Utama.
: Pola Contoh Penggunaan
1) a - a = asah, balak, halaman
2) a - i = alih, balik, sumbangsih
3) a - u = asuh, datuk, lembayung
4) e pepet - a = emas, kelam, cemerlang
5) e pepet - i = lebih, betik, sembelih
6) e pepet - u = telur, tempuh, temenggung
7) e taling - a = elak, dewan, belerang
8) e taling - e taling = leceh, gelek, selekeh.
9) e taling - o = esok, telor, selekoh.
10) i - a = ingat, kilang, selinap
11) i - i = intip, sisih, belimbing
12) i - u = riuh, tidur, periuk
13) o - a = otak, borang, sekolah
14) o - e taling = oleh, boleh, celoteh.
15) o - o = obor, borong, kelompok
16) u - a = ubat, tumpang, ketupat
17) u - i = usik, kuih, gerusih
18) u - u = untuk, tunduk, tengkujuh
Hukum Kekecualian Keselarasan Vokal (HKKV)
: Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu yang ada sekarang terdapat beberapa perkataan yang dikecualikan daripada hukum keselarasan vokal. Hukum ini dilaksanakan kepada beberapa perkataan yang berasal daripada bahasa Nusantara dan kata serapan daripada bahasa Inggeris. Hukum ini dikenali sebagai Hukum Kekecualian Keselarasan Vokal (HKKV).
Terdapat sejumlah perkataan daripada bahasa Jawa yang sering digunakan dalam bahasa Melayu, namun pengejaannya dikecualikan daripada hukum keselarasan vokal yang digunakan. Perkataan-perkataan tersebut ialah aneh, perabot, lancong, lakon, calon, lapor, tulen, pamer, kaget, gembleng
Dalam hal ini ramai yang masih keliru dengan pengejaan perkataan-perkataan yang disebutkan itu. Cara terbaik untuk itu ialah dengan menghafazkannya, ia merupakan salah satu langkah terbaik.
Hukum kekecualian keselarasan vokal melibatkan pasangan vokal berikut:-
i. a - e (t) yang sepatutnya keselarasan vokal ialah a - i .
Misalnya dalam perkataan /aneh/ dan /kaget/ polanya ialah a - e bukan dieja sebagai /anih/ dan /kagit/ yang menggunakan pola a - i seperti dalam perkataan balik, kalis, masin yang terdapat dalam sistem keselarasan vokal
ii. a - o yang sepatutnya keselarasan vokal ialah a - u .
Misalnya dalam perkataan /calon/ dan /lapor/ polanya ialah a - u bukan dieja sebagai /calun/ dan /lapur/ yang menggunakan pola a - u seperti yang digunakan untuk mengeja kata kasut, amuk dan anjung dalam sistem keselarasan vokal.
iii. u - e (t) yang sepatutnya keselarasan vokal ialah u - i.
Misalnya dalam perkataan /tulen/ dan /ulet/ polanya ialah u - i bukan dieja sebagai /tulin/ dan /ulit/ yang menggunakan pola u - i seperti dalam perkataan kuih, tumis, kudis, bunyi yang terdapat dalam sistem keselarasan vokal.
iv. e (p) - e (p) yang sepatutnya keselarasan vokal ialah e (p) - i.
Misalnya dalam perkataan /pepet/ dan /demdem/ polanya ialah e (p) - e (p) bukan dieja sebagai /pepit/ dan /demdim/ yang menggunakan pola e (p) - i seperti dalam perkataan kecil, degil, yang terdapat dalam sistem keselarasan vokal.
Ejaan Gugus Konsonan
: Ejaan gugus konsonan yang terdapat dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain diterima dan dikekalkan bentuknya ke dalam bahasa Melayu dengan beberapa penyesuaian.
Penulisan Gugus Konsonan di Awal Kata
Contoh:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
bl- block jadi bl- blok
br- brake jadi br- brek
cl- clinic jadi kl- klinik
pr- practical jadi pr- praktis
st- stable jadi st- stabil
sc- script jadi sk- skrip
Sebagai kekecualian bagi peraturan mengenai gugus konsonan seperti yang disebut di atas, beberapa kata tertentu telah diterima menurut ejaan lama yang menggunakan huruf e pepet. Kata-kata yang telah ditetapkan ejaannya adalah seperti berikut:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
class jadi kelas
club jadi kelab
glass jadi gelas
grant jadi geran
plan jadi pelan
stamp jadi setem
Penulisan huruf gugus konsonan di akhir kata:
Contoh:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
-if golf jadi -if gol
-nce science jadi -ns sains
-ps forceps jadi -ps forseps
-rd standard jadi -rd standard
-rt consert jadi -rt konsert
-x complex jadi -ks kompleks
-xt text jadi -ks teks
Huruf gugus konsonan di akhir kata dalam bahasa Inggeris disesuaikan dengan penambahan huruf vokal dalam bahasa Melayu.
Contoh:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
-ct fact jadi -kta fakta
-gm paradigm jadi -gma paradigma
-ism nationalism jadi -isme nasionalisme
-sm plasm jadi -sma plasma
Penulisan Kata
Kata Terbitan:
Kata terbitan ialah kata dasar yang berimbuhan atau kata dasar yang ditulis serangkai dengan bentuk kata yang lain. Semua imbuhan dan semua bentuk terikat lain yang tidak dapat berdiri sendiri ditulis serangkai atau bersambung dengan kata dasar atau bentuk dasarnya atau bentuk akarnya.
A. Kata Terbitan Berawalan:
Awalan Bentuk Dasar Kata Terbitan
Anti- karat antikarat
Auto- carta autocarta
Dwi- fungsi dwifungsi
Eka- bahasa ekabahasa
Juru audit juruaudit
Ke kasih kekasih
Maha- siswa mahasiswa
Panca- indera pancaindera
Poli cakera policakera
Pra- sejarah prasejarah
Pro- kerajaan prokerajaan
Sub- golongan subgolongan
Supra- golongan supragolongan
Swa- tenaga swatenaga
Tata- negara tatanegara
Tri bulan tribulan
Tuna karya tunakarya
Bentuk awalan yang boleh ditulis terpisah daripada kata dasar atau bentuk dasar yang mengikutinya hanya bagi tiga penggunaan yang berikut:
a) Awalan maha ditulis terpisah daripada kata dasar atau bentuk dasar selepasnya yang bermula dengan huruf besar yang menunjukkan ganti nama Tuhan atau nama khas yang lain.
Contohnya:
- Maha Mengetahui
- Tuhan Yang Maha Bijaksana
- Duli Yang Maha Mulia.
b) Tanda sempang (-) perlu digunakan apabila awalan se- diimbuhkan pada kata nama khas yang bermula dengan huruf besar.
Contohnya:
- se-Nusantara
- se-Malaysia (Persatuan Pelajar Melayu Se-Malaysia)
- se-Tanah Melayu (Parti Islam Se-Tanah Melayu)
c) Bentuk terikat anti, pro dan kontra dapat juga ditulis terpisah sebagai kata bebas seperti yang berikut:
- Bersikap anti
- Pro dan kontra
B. Kata Terbitan Berakhiran
Akhiran Bentuk Dasar Kata Terbitan
-ah sultan sultanah
-at muslim muslimat
-isme nasional nasionalisme
-nita/ita biduan biduanita
-wan bangsa bangsawan
-wati seni seniwati
-wi dunia duniawi
C. Kata Terbitan Berapitan
Apitan Bentuk Dasar Kata Terbitan
Ke-…-an rai keraian
Menge-…-i syak mengesaki
Pel-…-an ajar pelajaran
D. Kata Terbitan Bersisipan
Sisipan Bentuk Dasar Kata Terbitan
-el- tunjuk telunjuk
-em- serbak semerbak
-in- sambung sinambung
-er- gigi gerigi
Pengimbuhan
: Perkataan-perkataan dalam sesuatu bahasa boleh terdiri daripada bentuk dasar, iaitu bentuk kata terkecil yang tidak menerima sebarang imbuhan, atau bentuk terbitan, bentuk yang dihasilkan daripada proses memperluas bentuk dasar tadi melalui berbagai-bagai cara pembentukan kata. Imbuhan dimaksudkan unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya.Termasuk dalam imbuhan ialah bentuk-bentuk awalan, akhiran, sisipan, dan apitan.
Awalan
: Awalan ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar, misalnya, ter dalam terjatuh dan me- dalam menulis. Contoh lain adalah seperti ber dalam beranak, se dalam sejenis, ke dalam kekasih, dan pem dalam pembeli
Akhiran
: Akhiran ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian belakang kata dasar, misalnya –an dalam makanan dan –kan dalam tuliskan. Contoh lain adalah seperti –man dalam budiman, -wan dalam cendekiawan, dan –wati dalam seniwati.
Sisipan
: Sisipan ialah imbuhan yang diselitkan di antara unsur-unsur kata dasar, misalnya –em dalam kemuning dan kemuncup, -er dalam seruling dan serabut, dan –el dalam telunjuk dan kelabut.
Apitan
: Apitan ialah imbuhan yang ditambahkan serentak pada hadapan dan pada belakang kata dasar, misalnya ke- ...an dalam kezaliman dan kesenangan, pe-...an dalam pesisiran dan peperangan.
Pemilihan Kata
: Perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna, yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa. Perkataan dimulai dan diakhiri oleh sempadan perkataan. Perkataan mempunyai pelbagai bentuk yang dapat dijeniskan sebagai berikut: kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, dan kata ganda.
Kata Tunggal
: Perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal, iaitu kata tunggal yang mengandungi hanya satu suku kata dan kata tunggal yang mengandungi dua suku kata atau lebih.
Kata tunggal satu suku kata
: Jumlah kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu amat terhad, iaitu kira-kira 500. Ada antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa-bahasa asing, terutama bahasa Arab dan bahasa Inggeris.
Pola gabungan konsonan-vokal dalam kata tunggal bahasa Melayu adalah seperti berikut :
1. KV
2. VK
3. KVK
4. KKVK
5. KVKK
6. KKKV
7. KKKVK
Contohnya :
1. KV
yu, ru, ya
2. VK
Am
3. KVK
cat, bah, tin, bin, sen, lap, roh, dan.
4. KKVK
stor, pruf, dril, gred, skel, brek, krim, trak, draf, dram, skor, skop.
5. KVKK
teks, bank, volt, harp, kord, seks, zink, golf
6. KKKV
skru.
7. KKKVK
skrip, straw, strok, skrin.
Kata tunggal dua suku kata
: Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata. Antara pola-pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti yang berikut :
1. V + KV 7. KV + VK
2. V + VK 8. KV + KV
3. V + KVK 9. KV + KVK
4. VK + KV 10. KVK + KV
5. VK + KVK 11. KVK + KVK
6. KV + V
Contoh :
1. V + KV
aku (a+ku), apa (a+pa), itu (i+tu), ubi (u+bi).
2. V + VK
air, aur, ais.
3. V + KVK
adik, emas, ubat, ikan, izin, ulat, ekor.
4. VK + KV
undi, erti, inti, unta, asli, abdi.
5. VK + KVK
ambil, umpan, empat, indah, embun, ombak, iblis.
6. KV + V
Dua, doa, tua, dia, bau.
7. KV + VK
Jauh, buah, kuil, diam, buih, kuih, liar.
8. KV + KV
Jala, pasu, buku, guru, kita, saya, rata.
9. KV + KVK
Kapal, telur, sikat, hiris, pukul, jarum, bakul, mulut.
10. KVK + KV
lampu, janji, sendi, pintu, tentu, jumpa, jambu.
11. KVK + KVK
Jemput, sandar, bantal, pintal, bandar
Kata tunggal tiga suku kata
: Jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak sedikit. Perkataan-perkataan tiga suku kata ini banyak daripadanya ialah kata-kata pinjaman. Antara pola-polanya ialah :
1. KV + V + KV 11. KV + KV + KV
2. KV + V + KVK 12. KVK + KV + KV
3. V + KV + V 13. VK + KV + VK
4. KV + KV + V 14. V + KV + VK
5. KVK + KV + V 15. KV + KV + KVK
6. KV + KV + VK 16. KVK + KV + KVK
7. KVK + KV + VK 17. KV + KVK+ KV
8. V + KV + KV 18. KVK + KVK+ KV
9. V + KV + KVK 19. KV + KVK+ KVK
10. VK + KV + KV
Kata Terbitan
: Kata terbitan ialah bentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan.
Kata Terbitan Berawalan
: Awalan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan.
a. Awalan kata nama
b. Awalan kata kerja
c. Awalan kata adjektif
a. Awalan kata nama
pe - pekebun, pelaut, peladang, pesawah, pekedai.
pem - pembesar, pembaca, pembajak, pembelot, pemburu.
pen - pencuri, penjaja, pendengar, pentadbir, pentafsir.
peng - penggali, penghantar, pengkaji, pengurus, pengasuh.
penge - pengecat, pengebom, pengetin.
ke - ketua, kekasih, kekanda.
juru - juruterbang, juruwang, jurubahasa, jururawat.
maha - mahasiswa, maharaja, mahaguru.
tata - tatabahasa, tatacara.
pra - prakata, prasejarah, prasyarat, prasekolah, prauniversiti.
eka - ekabahasa, ekawarna.
dwi - dwibahasa, dwifungsi.
b. Awalan kata kerja
me - melihat, melawat, merawat, merebus, melombong,
mem - membaca, membesar, membawa, membilang.
men - mendayung, mendaki, mencari, mencuri.
meng - menghijau, mengambil, mengkritik, mengkaji.
menge - mengebom, mengecat, mengelap, mengekod, mengetin.
memper - mempersuami, memperisteri, memperlebar, memperhamba.
ber - berlari, bercukur, berfikir, berbuah, bertanya, bersuara.
be - bekerja, berasa, beraja.
ter - termakan, tersepak, terambil, terminum.
c. Awalan kata adjektif
ter - terkecil, terbesar, tertinggi, terkurus.
se - sehodoh, secantik, senipis, setebal.
Struktur Ayat
: Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang diucapkan dengan intonasi yang sempurna, iaitu dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan. (Nik Safiah Karim, 1986)
Pola Ayat Dasar
: Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu :
Pola 1 : Frasa Nama + Frasa Nama
Pola 2 : Frasa Nama + Frasa Kerja
Pola 3 : Frasa Nama + Frasa Adjektif
Pola 4 : Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
Contoh :
- Pola 1 : Encik Ikmal + pengurus syarikat.
- Pola 2 : Anak mereka + sedang tidur.
- Pola 3 : Baju itu + merah.
- Pola 4 : Rumah saya + di Negeri Sembilan
Ayat Aktif
: Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.
Ayat Aktif Transitif
: Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama ataupun klausa komponen sebagai objek atau unsur
Ayat Aktif Tak Transitif
: Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya.
Contoh :
- Fuad membaca buku. (aktif transitif)
- Harimau itu menerkam kijang. (aktif transitif)
- Dia menangis sepanjang hari. (aktif tak transitif)
- Teksi itu menuju ke utara. (aktif tak transitif)
Ayat Pasif
: Ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh digolongkan kepada tiga jenis:
4.1 Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif.
4.2 Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan ganti nama diri kedua.
4.3 Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja
Ayat Pasif dengan Imbuhan Kata Kerja Pasif
: Ayat pasif jenis ini ialah ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.
Contoh :
- Buku itu belum diambil oleh Fauzi kelmarin.
- Televisyen itu dibeli oleh ibu malam tadi.
- Basikal itu terlanggar oleh bas pada bahagian tayarnya.
- Universiti Multimedia terbina oleh pekerja dalam masa dua tahun.
Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri Orang Pertama dan Kedua
: Untuk ayat pasif jenis ini, kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar disebabkan kata ganti diri pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-.
Contoh :
- Rumah itu sudah saya catkan semalam.
- Bola itu saya sepak.
- Hutang itu belum kamu jelaskan sepenuhnya
Ayat Pasif dengan Kata Bantu Pasif Kena
: Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. Frasa nama objek boleh juga digugurkan.
Contoh :
- Perompak itu kena tangkap oleh polis.
- Kanak-kanak itu kena kejar oleh angsa.
- Aminah kena tipu oleh penjual jualan langsung.
Ayat Tunggal
: Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa sahaja iaitu yang mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat.
Contoh :
- Ibu Fatimah doktor.
- Mereka membaca majalah itu.
- Ahmad ke pasar petang semalam.
Penghubung ayat
: Kata penghubung ayat ialah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. Terdapat dua jenis ayat majmuk yang terbentuk, iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Ayat majmuk gabungan dihubungkan dengan kata hubung gabungan, manakala ayat majmuk pancangan dihubungkan dengan kata hubung pancangan.
Kata hubung gabungan
: Kata hubung gabungan ialah sejenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk yang menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan. Berikut disenaraikan beberapa contoh kata hubung gabungan.
dan / lalu
atau / malahan
tetapi / sambil
serta / kemudian
Contoh:
- 1. Sarinah membasuh baju dan ibunya menggoreng ikan.
- 2. Irfan berdiri lalu berjalan ke halaman rumah.
- 3. Ammar mungkin membeli kereta Toyota atau Honda.
- 4. Faridah memakai baju merah tetapi suaminya memakai baju biru.
Kata hubung pancangan
: Kata hubung pancangan ialah sejenis kata hubung yang menyambung klausa-klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
a. kata hubung pancangan relatif
b. kata hubung pancangan komplemen
c. kata hubung pancangan keterangan
a. Kata hubung pancangan relatif
: Kata hubung pancangan relatif ialah kata yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain. Bentuk kata hubung jenis ini ialah yang.
Contoh:
- 1. Gadis yang bijak itu telah memenangi hadiah utama pertandingan itu.
- 2. Pelajar yang sedang menulis itu anak saya.
- 3. Majalah yang dibeli Irfan itu majalah hiburan.
- 4. Saya membeli baju yang berwarna biru.
b. Kata hubung pancangan komplemen
: Kata hubung pancangan komplemen berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama. Dua contoh kata komplemen yang sering digunakan ialah bahawa dan untuk.
Contoh:
- 1. Pensyarah itu memaklumkan bahawa peperiksaan akan bermula esok.
- 2. Penduduk mengetahui bahawa Encik Abu Talib peniaga makanan.
- 3. Sungguh mustahil untuk kami mempercayai cerita itu.
c. Kata hubung pancangan keterangan
: Kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Berikut disenaraikan beberapa contoh kata hubung pancangan keterangan.
kerana / agar / meskipun
sekiranya / semoga / supaya
kalau / andai kata / semasa
hingga / jikalau / semasa
sementara / setelah / sewaktu
Contoh:
- 1. Sarinah itu selalu mendapat hadiah kerana kecemerlangannya.
- 2. Pertandingan itu akan ditangguhkan sekiranya hujan turun.
- 3. Mereka bermain bola hingga lewat senja.
- 4. Penulis itu mengarang novel ketika anaknya sudah tidur